Tutup Aurat Kerana Apa?

.::: Dengan Nama Allah yg Maha Pengasih & Maha Penyayang :::.


Suatu hari, seorang gadis keluar rumah untuk menyidai pakaiannya. Dia meninjau ke luar rumah dan terus keluar tanpa memakai tudung. Lalu ibunya terlihat anak gadisnya tidak bertudung di luar rumah.


Ibu    : Kenapa kamu keluar tanpa memakai tudung?


Gadis: Kerana tiada sesiapa di luar ini. Pagi-pagi begini mana ada orang.


Ibu    : Oh, jadi kamu memakai tudung hanya ketika ada orang lelaki. Jika tiada, kamu bebas?


Gadis: Tetapi ibu, tindakan saya ini betul. Apa salahnya saya keluar begini dalam situasi seperti ini...


Ibu   : Kamu tutup aurat kerana apa? Kerana Allah atau adanya lelaki?


Seketika kemudian, si gadis berjalan masuk ke rumah.

Gadis: Menutup aurat adalah tuntutan agama Islam untuk memelihara maruah dan mengelakkan fitnah. Ia juga adalah perintah daripada Allah s.w.t. Allah memerintahkan wanita supaya menjaga auratnya daripada pandangan lelaki ajnabi. Bukan semata-mata menutup aurat tanpa sebab. Jadi, tidak salah sekiranya saya menutup aurat kerana tidak mahu dilihat oleh lelaki ajnabi...atas dasar perintah daripada Allah s.w.t.


**********


Apa yang dapat kita perhatikan dalam cerita ini?
Suatu hujah yang ringkas dan tepat tentang sebab keperluan menutup dan memelihara aurat kita. Berikut adalah garis had menutup aurat.


Bagi lelaki:
 - Hendaklah menutup auratnya daripada pusat hingga lutut.
 - Pakaian tidak menyerupai pakaian wanita.
 - Pakaian tidak terlalu ketat dan nipis sehingga menampakkan bentuk aurat.
- Tidak memakai baju / seluar pendek (depan khalayak ramai) yang boleh menampakkan aurat.





Bagi wanita
- Hendaklah menutup keseluruhan tubuh badannya KECUALI muka dan kedua tapak tangan.
- Melabuhkan tudung menutupi dada dan tidak menampakkan tengkuk.
- Baju yang menutupi pergelangan tangan (boleh pakai handsock/kancing baju)
- Pakaian longgar, labuh dan tidak jarang/nipis.
 - Pakaian tidak menyerupai pakaian lelaki.
 - Memakai stokin kaki.




Selain menutup aurat, wanita juga diekhendaki menjaga perhiasannya daripada diketahui orang ramai (di luar).
Di bawah ini saya sertakanbeberapa  firman Allah s.w.t dan hadis Rasulullah s..a.w.


1) "...dan janganlah kamu *bertabarruj seperti tabarujjnya orang-orang jahiliyyah terdahulu" (Al-ahzab : 23)


2) Dari Abu Musa al-Asy'ari r.a, ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w.bersabda: 
'Siapa pun wanita yang memakai wangi-wangian,
 lalu mereka melalui kaum lelaki agar mendapat baunya,
    maka dia adalah penzina'. (HR An-Nasai, Abu Daud dan At-Termizi)

3) Daripada Ibnu Mas'ud r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w: ' Allah melaknat perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuatkan tatu, yang mencukur alis, yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah'. (HR Bukhari dan Muslim)

4) "Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan."
     ( An-Nur : 31 )


* Tabarruj bermaksud apabila wanita tidak menyembunyikan kecantikan wajah dan bentuk tubuhnya serta dia beranggapan baik untuk dipamerkan dengan tujuan menimbulkan ghairah nafsu kaum lelaki.


  Bagaimanapun, ia dibenarkan kepada para isteri untuk berbuat demikian di hadapan suami masing-masing.


Itulah sedikit perkongsian yang dapat saya sampaikan tentang fokus tajuk kali ini.
Teringat kata-kata sahabat saya yang dia ambil daripada Darul Nu'man,
" Andainya berlian dan intan dibungkus rapi serta disimpan dalam peti berkunci, 
  maruah seorang wanita apatah lagi..." 

Semoga kita semua mendapat manfaat dengan ilmu yang dipelajari dan istiqamah untuk mengamalkannya. Mudah-mudahan kita mendapat limpah nikmat dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala :)

1 comment:

shairazi sharizan said...

pelihara diri kamu,,pelihara aurat kamu